HITLER ITU MUNGKIN ADA BENARNYA
Ketika saya menulis rencana ini (pada hari Sabtu) saya sedang berada di Osnabruck, Jerman. Pada hari Jumaat semalam saya memberikan ceramah ringkas di sebuah masjid di sini yang diberi nama Masjid Ibrahim. Kebanyakan ahli jemaahnya merupakan orang Arab.
Saya berucap dalam bahasa arab mengenai isu semasa umat Islam sekarang khususnya Palestin. Imamnya yang berasal dari Syria berkhutbah dengan berani dan bersemangat tentang isu Gaza. Bahkan beliau berkempen agar ahli jemaahnya menyertai demonstrasi aman membantah kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Saya melihat satu keperluan apa yang beliau kempenkan, sebab di Berlin telah dibuat demonstrasi besar menyokong tindakan Israel. Malanglah jika ada masjid di Malaysia yang tidak berani mengutuk Israel. Hari ini (Ahad) saya bercadang hendak ke Berlin untuk berjumpa dengan beberapa pihak.
Ini adalah kali pertama saya sampai ke Jerman. Semasa kecil apa yang saya tahu mengenai Jerman iaitu tenteranya di pihak yang jahat berperang melawan hero-hero Amerika. Ini semua adalah pengaruh filem Combat semasa zaman tersebut. Oleh kerana Amerika yang menerbitkan siri Combat tersebut, maka digambarkan merekalah di pihak yang benar dan Jerman di pihak yang jahat. Alasan kejahatan tidak diketahui melainkan kerana hero yang ditabalkan berada di pihak tentera Amerika. Demikianlah cara sesebuah filem mempengaruhi minda manusia, terutama kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah serta terdedah kepada bahan bacaan yang berbagai, nama Adolf Hitler dan puak Nazinya agak sinonim dengan Jerman di lintasan minda setiap kali perkataan Jerman itu disebut. Selain itu, tidak banyak maklumat tambahan tentang Jerman yang saya baca.
Sebelum saya sampai ke Jerman, seminggu lepas saya menghabiskan buku yang ditulis oleh Seymour Rossel yang bertajuk The Holocaust. Sebagai Yahudi, beliau memang membela Yahudi dan mengutuk Hitler habis-habisan. Beliau mengutip maklumat daripada Encyclopedia Judia mendakwa bahawa Nazi telah membunuh sebanyak 5,820,960 Yahudi terutama Yahudi Poland dan Rusia. Saya tidak pasti sejauh manakah benar angka tersebut. Tapi yang pasti memang Hitler ialah seorang diktator yang sangat kejam. Membunuh dengan zalimnya bukan sahaja Yahudi, tetapi juga sesiapa sahaja yang menentangnya. Cara pembunuhannya juga begitu sistematik bagaikan kilang perusahaan yang teratur. Kekejaman itu tidak dapat diterima oleh sesiapa pun. Di Jerman sehingga hari ini kekejaman itu dikutuk oleh rakyat negaranya.
KEKEJAMAN
Namun, di samping kekejaman yang disandarkan kepada Adolf Hitler, persoalan yang patut ditanya, mengapakah kempen Adolf Hitler bahawa Yahudi adalah bangsa yang bahaya, telah merosak dan mengancam Jerman, mendapat sambutan ketika itu? Ketika Hitler baru cuba muncul dalam politik Jerman pada tahun 1919, walaupun beliau seorang pemidato yang baik, beliau belum terkenal dan hanya beberapa orang sahaja yang hadir mendengar ucapannya. Namun selepas itu, apabila beliau membangkitkan dalam ucapan-ucapannya isu anti-semitic atau anti Yahudi, rakyat Jerman mula membanjiri ucapannya dan menyokong gerakannya membenci Yahudi. Apabila Hitler dipenjarakan pada tahun 1923 selama sembilan bulan, beliau menulis bukunya yang terkenal Mein Kampf. Sejak awal penulisan buku tersebut, Hitler menegaskan bahawa penderitaan ekonomi yang dihadapi oleh bangsa Jerman yang ketika itu adalah berpunca dari kejahatan Yahudi. Perasaan kebencian terhadap Yahudi dihidupkan dalam buku tersebut. Sebenarnya, Hitler bukanlah orang memulakan kepercayaan bahawa Yahudi adalah bangsa perosak.
Pada 1542, pemimpin agung Prostestan Jerman, Martin Luther telah menulis tentang pembohongan dan kemerbahayaan Yahudi dalam bukunya Against The Jews And Their Lies. Pada kurun yang ke-14, Sepanyol dan Portugal memaksa masyarakat Yahudi hidup secara terpisah dari bukan Yahudi. Pada 1516, di Venice, Itali, pihak Gereja Katholik memerintah agar dibina tembok mengelilingi penempatan Yahudi yang dinamakan dengan Ghetto. Yahudi tidak benarkan keluar pada waktu malam sehingga menjelang fajar. Masyarakat awam Kristian ketika itu percaya bahawa Yahudi adalah bangsa yang jahat dan beramal dengan ilmu hitam. Pembinaan ghetto kemudiannya telah berkembang ke seluruh Eropah. Maka Yahudi Eropah dikepung di sebalik tembok ghetto, atau pekan-pekan khas hanya untuk mereka. Mengapakah masyarakat Eropah ketika itu bersepakat mempercayai Yahudi adalah kaum yang jahat? Jawapannya, sama ada kepercayaan itu adalah khurafat, atau mereka mempunyai asas pengalaman dengan Bangsa Yahudi. Jikalau jawapannya yang pertama, Yahudi adalah memang bangsa yang teraniaya. Jika jawapannya, Yahudi memang dalam sejarahnya telah merosakkan kehidupan manusia sehingga menjadi ketakutan kepada masyarakat Eropah, tindakan kejam atau rakus Adolf Hitler, sekalipun kejam dan tidak dapat diterima, namun ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah kemerbahayaan Yahudi kepada masyarakat Eropah khususnya dan dunia amnya. Apa pun ceritanya, kesangsian pihak pihak Gereja Kristian telah lama berakar umbi, sehinggalah Yahudi kembali menipu Eropah pada hari ini. Lalu undang-undang Anti-Semitic dikuatkuasakan di Eropah, maka bangsa Yahudi mendapat kekebalannya di sini, terutama di Jerman ini.
Jika lihat dalam sejarah Islam, di samping menyedari tentang tabiat Yahudi, namun Islam tidak pernah menghukum mereka hanya kerena mereka Yahudi, tetapi menghukum berdasarkan tindakan mereka. Nabi SAW pernah mengizinkan mereka terus menetap di Khaibar yang subur. Namun mereka khianat, merancang dengan pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan Nabi saw Maka mereka pun diusir. Pada zaman Khalifah 'Umar Ibn al-Khattab, beliau telah memberikan kepada Yahudi penempatan dan keamanan di Alia, Palestin. Kebebasan beragama dan hidup diberikan dengan jelas serta termaktub dalam pengisytiharan khalifah agung tersebut. Namun, seperti biasa, Yahudi terus khianat. Sejarah pengkhianatan Yahudi bukan bermula sejak kemunculan pemikiran zionisme, tetapi sejak lama dahulu. Sejak kisah mereka dengan para nabi yang mengalami berbagai tragedi disebabkan kerenah mereka. Pun begitu, Islam tidaklah pula menghukum secara 'borong' dengan menyatakan setiap individu yahudi itu jahat.
Bahkan dalam sirah Nabi SAW, isteri baginda Safiyyah binti Huyyai merupakan anak ketua Kabilah Yahudi Bani Quraizah. Ada sahabah yang mulia bernama 'Abd Allah bin Salam. Beliau seorang yahudi, bahkan tokoh agamawan besar Yahudi. Beliau menganut Islam dan amat dihormati. Islam amat adil dalam menilai, tidak ditanggung dosa orang lain atas bahu orang lain. Maka walaupun secara umumnya, rekod Yahudi memanglah buruk, namun ini tidak menafikan kemungkinan adanya mereka yang baik di kalangan Yahudi. Tetapi rekod Yahudi secara umum, memanglah buruk. Ini diakui oleh Abd Allah bin Salam sendiri ketika beliau menganut Islam. Katanya: "Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak yang paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenaiku". Maka Rasulullah pun menyembunyikannya dan menghantar orang memanggil golongan Yahudi lalu mereka pun datang. Rasulullah SAW bertanya mereka: "Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kamu?" Jawab mereka: "Dia orang yang terbaik di kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin kami, anak pemimpin kami. Ulama kami, anak ulama kami". Sabda Rasulullah: "Apakah jika dia menganut Islam, kamu akan turut menganut Islam?" Jawab mereka: "Allah lindunginya dari perkara tersebut". Sabda Rasulullah: "Wahai Abdulullah bin Salam, keluar dan beritahulah kepada mereka". Abdullah bin Salam pun keluar dan berkata: "Aku menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah". Lantas mereka berkata: "Dia orang yang paling jahat di kalangan kami, anak orang yang paling jahat. Orang yang paling jahil di kalangan kami dan anak orang paling jahil". Kata Abdullah bin Salam: "Aku telah beritahu wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta". (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari).
Kita bukan anti kaum tertentu, atau anti-semitic secara membabi buta seperti Hitler atau masyarakat Eropah dahulu. Namun jika kita melihat Yahudi Israel hari ini mengkhianati perjanjian atau bersikap jahat, itu bukanlah perkara baru dan pelik untuk mereka kerjakan. Kepercayaan Hitler itu, mungkin ada benarnya.
- Saya dalam cerita di atas ialah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis dan sekarang Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan