SEMOGA ANDA MENDAPAT SEDIKIT ILMU DAN MANFAAT




"Selamat datang ke wilayah aku. Wilayah aku ni direka cipta secara cuba jaya atau 'trial and error' serta tunjuk ajar rakan-rakan. Dengan penulisan dan pengisian yang serba ringkas, semoga anda memperolehi sedikit manfaat melalui wilayah aku ni."















Rabu, Ogos 03, 2011

PENGURUSAN KESIHATAN DIRI

Pengurusan kesihatan diri yang baik akan menjamin tahap kesihatan yang sentiasa sempurna. Pengetahuan dan kemahiran mengurus kesihatan diri menjadi aset yang penting untuk hidup sihat sepanjang hayat. Berikut adalah aspek pengurusan diri yang harus diberi perhatian (Rajah 1.3):

Rajah 1.3: Pengurusan kesihatan diri


1. Pengurusan Kebersihan Tubuh

Membersihkan tubuh badan adalah rutin harian yang perlu dilakukan. Kita perlu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Bersihkan tubuh dengan sabun dan air bersih untuk membuang kekotoran dan kuman. Amalan ini dapat menjauhkan kita daripada dijangkiti penyakit kulit seperti kudis dan badan berbau.
Tangan kita adalah di antara anggota yang paling banyak mengumpul kuman. Setiap kali kita memegang tombol pintu atau duit kertas, pelbagai kuman orang lain dipindahkan kepada tangan kita. Bersihkan tangan dengan sabun dan air bersih setiap kali selepas ke tandas sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan. Kuku yang panjang akan menyediakan ruang masuk untuk kuman pindah ke mulut dan makanan kita. Pastikan kuku sentiasa dipotong pendek dan bersih.
Rambut perlu dibersihkan dengan menggunakan syampu yang bersesuaian dengan jenis kulit kepala. Biasanya terdapat dua jenis kulit kepala iaitu berminyak dan kering. Pilih syampu yang sesuai dengan jenis rambut. Kutu rambut dan masalah kulit kepala adalah di antara masalah kesihatan yang biasa berlaku. Dapatkan rawatan dan nasihat di klinik.

Penjagaan mulut termasuk gigi penting dalam pengurusan kesihatan diri. Gosok gigi menggunakan berus gigi yang sesuai dan ubat gigi. Pastikan mulut dan gigi dibersihkan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur malam. Gunakan “floss” untuk membuang sisa makanan pada celah gigi. Dapatkan pemeriksaan gigi 2 kali setahun. Gunakan alat pelindung gigi jika terlibat dalam sukan lasak.
Tubuh badan kita memerlukan masa rehat yang secukupnya untuk memulihkan tenaga dan minda. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti. Kanak-kanak dan remaja memerlukan masa tidur yang lebih berbanding dengan orang dewasa. Pastikan tubuh dibersihkan sebelum tidur.

2. Pengurusan Kebersihan Pakaian

Negara kita mempunyai kadar kelembapan yang tinggi. Tubuh kita cepat berpeluh. Oleh yang demikian adalah penting untuk kita menukar pakaian setiap hari. Pastikan pakaian dibersihkan sebelum dipakai semula. Kita juga perlu membersih dan menjemur bantal, selimut, tilam dan cadar untuk mengelak pembiakan hama.


3. Pengurusan Tahap Kesihatan

Sesetengah penyakit adalah “pembunuh senyap”. Ada di antara kita tidak mengetahui bahawa kita sedang diancam penyakit. Misalnya penyakit kardiovaskular seperti penyakit Jantung dan strok. Penyakit ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada 10 penyebab kematian di Malaysia. Kita boleh mengurus tahap kesihatan melalui pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.
Pemeriksaan kesihatan membolehkan kita mengetahui tanda-tanda awal sesuatu penyakit, misalnya melalui pemeriksaan tahap glukos darah, seseorang dapat mengetahui sama ada dirinya berisiko untuk mendapat penyakit diabetis.

Jenis-jenis pemeriksaan yang boleh dijalankan ialah:

* Pemeriksaan tekanan darah
* Saringan paras glukos darah
* Saringan paras kolesterol
* Indeks jisim badan
* Pemeriksaan kanser serviks dan payu dara
* Ujian kadar lemak
* Saringan minda sihat


4. Pengurusan Pemakanan yang Sihat

Adakah kita hidup untuk makan atau makan untuk hidup? Kita makan untuk menghidupkan fungsi organ tubuh kita. Makanan memberi segala zat yang diperlukan oleh tubuh. Adalah amat penting untuk memakan sajian seimbang untuk mendapat semua jenis zat yang diperlukan. Makanan seimbang bermaksud makanan yang terdiri dari komponen karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan lain-lain. Pengambilan makanan seimbang daripada setiap komponen akan memberi tenaga, membina badan dan mencegah penyakit. Pengurusan pemakanan yang sihat merujuk kepada amalan pemakanan seseorang. Tiga waktu makan utama ialah sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Kita dinasihatkan supaya wajib makan sarapan pagi. Pengambilan sarapan pagi mampu memberikan kita tenaga untuk memulakan kerja. Tenaga dan zat-zat ini perlu ditambah untuk memulih tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda.

Makan mengikut keperluan adalah salah satu daripada pengurusan amalan makan yang sihat. Pengambilan jumlah makanan hendaklah bersesuaian dengan jenis pekerjaan atau penggunaan tenaga kita. Kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar dan aktif secara fizikal memerlukan jumlah makanan yang banyak. Begitu juga dengan mereka yang bekerja sebagai petani, nelayan dan buruh. Penggunaan tenaga mereka adalah tinggi.

Mereka yang bekerja tanpa memerlukan penggunaan tenaga yang banyak seperti bekerja di pejabat kurang memerlukan tenaga yang banyak. Oleh yang demikian, amalan makan berlebihan akan menyebabkan badan mereka menyimpan lebih tenaga dalam bentuk lemak. Lemak yang berlebihan ini akan menyebabkan seseorang menjadi gemuk.

Antara pengurusan amalan makan yang tidak sihat ialah:

* Tidak mengambil makanan semasa waktu makanan utama terutamanya sarapan pagi dan makan tengahari. Amalan ini akan menyebabkan kita berasa terlalu lapar dan makan dengan lebih banyak.

* Tidak mengambil pelbagai jenis makanan seimbang. Amalan ini akan menyebabkan tubuh badan tidak mendapat pelbagai zat yang diperlukan.


* Mengambil snek yang tidak sihat seperti ais krim, jeruk dan kek.

* Mengambil secara berlebihan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Amalan ini akan mendedahkan seseorang kepada risiko mendapat penyakit diabetis.

* Mengambil secara berlebihan makanan yang tinggi kadar lemak dan minyak. Amalan ini akan mengumpulkan lebihan lemak di dalam tubuh badan jika tidak digunakan.

* Mengambil makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin. Amalan ini dikenal pasti sebagai faktor risiko untuk penyakit tekanan darah tinggi.


5. Pengurusan Berat Badan

Obesiti merupakan salah satu risiko untuk mendapat penyakit diabetis, jantung, darah tinggi dan kanser. Risiko lain ialah merokok dan kurang bersenam. Di Malaysia, prevalen penyakit diabetis dalam kalangan penduduk Malaysia pada tahun 1986 ialah 6.3% dan meningkat kepada 8.3% pada tahun 1996. (National Health and Morbidity Survey, 1996).
Fizikal yang cergas adalah satu indikator untuk kesihatan tubuh badan. Kecegasan fizikal di sini tidak merujuk kepada senaman yang tetap semata-mata. Ia meliputi segala aktiviti yang menggerakkan anggota fizikal seperti menjalankan kerja di rumah dan membersihkan kawasan rumah. Aktiviti fizikal memerlukan tenaga yang berupa pembakaran lemak dalam tubuh kita. Pembakaran lemak secara konsisten akan menyisihkan lebihan lemak yang disimpan di dalam badan. Penyisihan lemak mengelak badan daripada berlebihan berat. Aktiviti fizikal akan meningkatkan high density lipoprotein (HDL) atau lemak darah berkepadatan tinggi yang baik untuk melindungi jantung. Ia adalah bahan darah yang dapat memungut kolesterol dan membantu membuangnya dari badan melalui hati. Ia dikenali sebagai kolesterol baik.


6. Pengurusan Tekanan (stress)

Tekanan (stress) adalah tindakbalas fizikal, emosi dan mental terhadap perubahan dan cabaran. Stres boleh dialami sama ada di rumah, sekolah dan tempat kerja. Stres yang sedikit boleh menjadi faktor motivasi kepada kita. Seseorang individu yang mengalami stres yang serius mungkin cenderung untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol. Kita mesti belajar hidup dengan stres kerana ia adalah sebahagian dari kehidupan. Belajar mengurus stres dapat menjauhkan kerunsingan. Pengurusan masa dan kerja secara bijak dapat membantu mengurangkan stres. Amalkan pemikiran dan komunikasi yang positif. Dapatkan bantuan jika tidak mampu menguruskan tekanan dengan sendiri.
 
 
Sumber: Modul HBHE2203 OUM

1 ulasan: