SEMOGA ANDA MENDAPAT SEDIKIT ILMU DAN MANFAAT




"Selamat datang ke wilayah aku. Wilayah aku ni direka cipta secara cuba jaya atau 'trial and error' serta tunjuk ajar rakan-rakan. Dengan penulisan dan pengisian yang serba ringkas, semoga anda memperolehi sedikit manfaat melalui wilayah aku ni."















Rabu, Ogos 10, 2011

PERANAN GENDER

Peranan Lelaki

Negara kita mengamalkan sistem patriaki yang mana golongan lelaki mengetuai sesebuah keluarga. Secara tidak langsung sistem ini memberi kuasa kepada lelaki dalam memimpin keluarga, membuat keputusan, menyediakan sumber ekonomi serta kemudahan asas yang selesa untuk kesejahteraan kesihatan hidup berkeluarga. Namun begitu, amalan ini semakin terhakis akibat tuntutan semasa seperti peningkatan kos hidup dan bertambahnya bilangan perempuan yang berpendidikan tinggi. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan mencari rezeki dikongsi bersama dengan isteri.
Teladan yang baik yang ditunjukkan oleh seorang bapa akan membantu anak lelaki membesar sebagai individu, bapa, suami dan pekerja yang sihat dari aspek fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.

Peranan lelaki yang sering dibincangkan dalam kesihatan keluarga ialah dalam aspek perancang keluarga. Peranan merancang keluarga dilihat lebih memfokus kepada perempuan. Untuk membentuk sebuah keluarga yang sejahtera dan bahagia pihak lelaki perlu mengambil bahagian dalam perancangan keluarga. Penjagaan kesihatan dan kesejahteraan sebuah keluarga memerlukan peranan dua pihak iaitu suami dan isteri. Pendek kata, tanggungjawab membina keluarga sihat, sejahtera dan bahagia harus dipikul secara bersama dan adil.

 
Peranan Perempuan


Salah satu peranan biologi yang menjadi keistimewaan perempuan ialah hamil dan melahirkan anak. Pada masa kini, peranan biologi ini tidak menghadkan kemampuan dan keupayaan golongan perempuan untuk mencari rezeki kepada keluarga. Ini menyebabkan bilangan mereka menjawat jawatan di sektor awam atau swasta semakin meningkat dari masa ke semasa. Begitu juga dengan penglibatan mereka dalam industri secara kecil-kecilan di rumah secara separuh masa seperti membuat kuih, keropok dan sebagainya tetapi pada masa yang sama mampu menjalankan tanggungjawab menjaga anak. Kegigihan mereka memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan dan menjana ekonomi keluarga.
Dalam konteks amalan kesihatan keluarga, peranan mereka termasuklah:

* Menjadi contoh kepada ahli keluarga yang lain berkaitan dengan amalan cara hidup sihat.

* Mempunyai hak yang sama dengan suami dalam menentukan isu yang berkaitan dengan kesihatan dan keluarga.

* Merancang dan menyediakan pemakanan dan makanan yang sihat kepada keluarga.

* Mengurus kebersihan di dalam dan luar rumah.

* Memastikan ahli keluarga yang sakit mendapat rawatan dan jagaan yang sebaik-baiknya.

* Mendidik anak berkaitan pencegahan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.


Peranan perempuan seperti yang disebutkan perlu dipikul bersama oleh suami dan anak. Walaupun dalam masyarakat kita seorang suami dianggap sebagai seorang ketua dalam keluarga tetapi ini tidak bermakna tanggungjawab mengurus rumah tangga dan keluarga perlu diserah bulat-bulat kepada isteri.


Stereotaip Gender


Stereotaip gender terutama dari aspek peranan, terus menjadi isu perbualan. Dalam sistem komuniti yang diketuai oleh lelaki atau kaum bapa, stereotaip gender ini masih jelas diamalkan. Sejak usia muda lagi anak lelaki dididik untuk berperwatakan, budaya pakaian, komunikasi serta bersosial seperti seorang lelaki yang diharapkan oleh masyarakat secara lazimnya.

Perwatakan dan budaya berpakaian serta penampilan yang terkeluar daripada ciri-ciri hakiki seorang lelaki dilihat sebagai satu masalah dalam gender, misalnya, lelaki “pondan”. Apabila sudah dewasa mereka diharap akan mampu mencari rezeki dan mengetuai keluarga sendiri.

Anak perempuan akan dididik dengan nilai, peranan serta perwatakan seorang perempuan yang diterima secara lazim oleh masyarakat. Mereka dididik untuk bersifat lemah-lembut, bersopan-santun dan tahu serta mahir dalam menguruskan rumah tangga. Perempuan yang lebih menonjolkan ciri-ciri seorang lelaki akan dilabel sebagai tomboy.

Walaupun golongan perempuan telah mencapai tahap pendidikan dan kerjaya setanding dengan lelaki, tetapi mereka masih perlu menjalankan tugas-tugas sebagai seorang isteri dan ibu. Walaupun perempuan memilih untuk hidup membujang tetapi ibu bapa atau masyarakat masih berharap agar seorang perempuan itu masih mampu menjalankan tugas-tugas seperti memasak dan mengemas rumah.

Dalam dunia pekerjaan, stereotaip gender dilihat semakin berkurangan. Ramai perempuan yang mampu melaksanakan kerjaya yang sebelum ini dikuasai oleh lelaki. Misalnya bekerja sebagai anggota polis dan tentera.



Sumber: Modul HBHE2203 OUM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan