Sorang lagi pelumba Terengganu yang sedang meningkat naik..Terengganu akan muncul kuasa baru dalam arena sukan tanah air dengan lahirnya bintang dalam pelbagai bidang sukan termasuk basikal lebuh raya, basikal trek, olahraga, bola sepak, sepak takraw dan sebagainya.
PELUMBA pasukan Terengganu ProAsia Cycling Team, Mohd Harrif Salleh mempunyai sebab untuk bergembira sebaik melintasi garisan penamat pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011), semalam.
Apa tidaknya, kejayaan menduduki tangga ketiga sudah cukup menghadirkan 1,001 kepuasan buat pelumba muda kelahiran Kuala Terengganu ini yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 03 minit 28 saat.
Tempat pertama dan kedua masing-masing menjadi milik pelumba pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini dan pelumba skuad kebangsaan Korea Selatan, Park Sungbaek yang turut merakamkan catatan masa yang sama.
Ternyata strategi antara Harrif dan rakan sepasukannya yang juga Raja Pecut edisi 2010, Anuar Manan telah membuahkan hasil buat TSG yang hadir sebagai pendatang baru pada kejohanan edisi ke-16 kali ini.
Bagi Harrif, dia cukup gembira dan teruja dengan kejayaannya menempatkan di podium pada perlumbaan pembuka tirai itu yang bermula di Dataran Lang dan berakhir di pekan Kuah membabitkan jarak sejauh 94.3 kilometer.
“Saya seperti tidak percaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya sudah cuba sedaya mungkin untuk menamatkan perlumbaan di kelompok hadapan.
“Inilah saja yang mampu saya lakukan dan cukup gembira dengan kejayaan ini menduduki tempat ketiga keseluruhan pada peringkat pertama LTdL 2011,” katanya.
Harrif yang beraksi buat kali kedua pada kejohanan berprestij di Asia itu menambah, kejayaan dicapai itu turut mendapat bantuan Anuar.
“Saya berterima kasih kepada Anuar dan rakan-rakan sepasukan yang lain kerana strategi kami menjadi.
“Ketika zon pecut, saya membantu Anuar mengutip mata dan ketika menuju ke garisan penamat, Anuar membuka ruang untuk saya memecut hingga garisan penamat,” katanya.
Bagaimanapun reaksi berbeza terpamer di wajah Anuar yang kecewa selepas gagal menyarung Jersi Biru (Raja Pecut) pada perlumbaan peringkat pertama semalam.
“Pada awalnya, saya jangka mampu memenangi kategori pecut tapi tak sangka bukan saya diumumkan sebagai pemenangnya,” kata Anuar yang meraih 14 mata.
(Sumber Berita: Harian Metro)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan