myMetro Kayuhan TSG bertenaga
PENDATANG baru, Terengganu ProAsia Cycling (TSG) membuktikan mereka bukan pasukan ‘mentah’ pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).
Selepas tamat lima peringkat perlumbaan, TSG semakin mempamerkan taring sebenar pada kejohanan berstatus 2HC itu.
Selain kejayaan Raja Pecut 2010, Anuar Manan yang menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pada perlumbaan peringkat kedua dan ketiga, TSG juga mencipta kejutan awal menerusi Mohd Harrif Salleh yang memenangi tempat ketiga dalam saingan pembukaan di Langkawi, Ahad lalu.
Anuar juga tampil bergaya dengan menduduki tempat ketiga pada perlumbaan peringkat kedua sebelum dia muncul naib juara di peringkat ketiga.
Semalam, jaguh bukit TSG, Mohd Saufi Mat Senan pula mencuri tumpuan apabila muncul sebagai pelumba pertama tempatan sampai ke garisan penamat pada peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands.
Saufi megah melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 36 minit 06 saat pada perlumbaan sejauh 124.3 kilometer itu yang dimenangi pelumba Androni Giocattoli, Jonnatha Monsalve (3’33:31s).
Lima lagi pelumba TSG yang turut menampilkan kayuhan bertenaga semalam ialah Puchong Sai-Udomsin yang menduduki tempat ke-40, Mohd. Shahrul Mat Amin (41), Shinichi Fukushima (53), Harrif (80) dan Anuar (84).
Melihat prestasi cemerlang barisan pelumbanya setakat ini, jurulatih TSG, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan tidak teragak-agak menghamburkan pujian kepada mereka.
“Semalam, Shahrul pamer kayuhan cemerlang dan hari ini, Saufi pula melakukan tugasnya dengan begitu baik sekali. Saya bangga dengan prestasi kesemua enam pelumba TSG selepas berakhirnya lima peringkat.
“Buat masa ini, segala perancangan kami berjalan lancar dan diharapkan ia dapat diteruskan hingga peringkat terakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.
(Sumber Berita: Harian Metro)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan