T-Team boleh dilabelkan sebagai pasukan 'giant killer' pada musim ini. Setelah dimalukan 0-2 di hadapan penyokong sendiri di Shah Alam, Selangor turun ke SSINS dengan harapan menggunung berbekalkan strategi serampang dua mata. Hajat pertama untuk melunaskan dendam terhadap T-Team setelah tewas 0-2 di Shah Alam manakala hajat kedua untuk mencari 3 mata bagi mengekalkan takhta liga.
Namun harapan setinggi gunung gagal dicapai sebaliknya Selangor sekali lagi tewas di tangan T-Team 2-1. Permainan sebelah petang ternyata tidak menganggu kerancakan kedua-dua pasukan dalam mencari gol. Ternyata T-Team lebih handal dengan mendapat gol pertama menerusi tandukan Nor Farhan Mohamad.
Selangor menyamakan kedudukan setelah dianugerahkan penalti apabila kapten T-Team, Rosdi Talib menjatuhkan Amirul Hadi di dalam petak penalti. Sepakan Syafiq Rahim berjaya menewaskan Syamsuri Mustafa untuk gol penyamaan Selangor.
T-Team sebaliknya terus mengasak dan akhirnya Indra Putra berjaya menanduk masuk hantaran lintang Rosdi untuk gol kemenangan pada minit ke-88.
Dalam perlawanan Harimau Muda A menentang Terengganu pula, perlawanan berlangsung dalam padang becak ekoran hujan. Terengganu yang masih segar dengan kejayaan mara ke final Piala FA mengasak kubu Harimau Muda dan mendapat peluang awal pada minit ke-7 namun sepakan Ismail Faruqi terus ke dakapan penjaga gol Harimau.
Usaha Terengganu berhasil pada minit ke-37 apabila Abdul Hadi menanduk hantaran lintang bek Terengganu, Zubir Azmi. Terengganu menambah gol kedua menerusi Ashaari Shamsudin apabila rembatan derasnya cuma mampu disentuh penjaga gol Harimau Muda A.
Setelah mendapat gol kedua, pemain Terengganu memperlahankan rentak dan seolah-olah bermain secara 'fancy'. Keadaan ini hampir mendatangkan padah apabila Harimau berjaya merapatkan kedudukan menerusi Danial Fazly. Keadaan kecoh seketika apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Muda ekoran Marzuki dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain Harimau dalam kotak penalti. Apa yang sebenarnya berlaku ialah dua pemain Harimau Muda berlanggar sesama sendiri sehingga terjatuh. Kapten Terengganu bersama Sharbinee, dan beberapa pemain lain membantah keras tindakan pengadil. Keadaan ini memaksa pengadil merujuk pembantu pengadil dan akhirnya sepakan penalti tersebut dibatalkan.
Akhirnya, kemenangan sah milik Terengganu dengan keputusan muktamad Terengganu 2-1 Harimau Muda A